Friday, August 24, 2012

Ramadhan...ianya bermula di sini.

assalamualaikum. to all..

ini cubaan entah kali ke berapa untuk mengupdate entry belog. tak tahu nak mula dari mana. semoga kali ini berjaya :)

bismillahirrahmannirrahim. 

sebelum Ramadhan. 

Akal fikiran dan hati tidak lagi betah untuk meneruskan perjalanan hidup di sini. dan hati ini cukup kuat mengatakan Ramadhan kali ini bakal mengulangi peristiwa lalu. doa tanpa henti semoga Allah berikan sesuatu yang lebih baik. akal dan hati ini dah terlalu lama terseksa. hanya Dia yang tahu. 

1 Ramadhan. 

usai solat asar. mak dan ayah membawa khabar duka. bersama renungan kecewa. dalam hati moga allah kuatkan hati mendengar segala kata-kata terluka luahan hati kecewa daripada seorang ibu dan ayah. setia mendengar tanpa kata yang terucap. air mata mula jatuh. tak sanggup bertentang mata dengan mak dan ayah. cukup takut. tapi itulah yang perlu aku hadapi. ini kali kedua aku bawa kekecewaan ke dalam hati mereka. aku punahkan harapan tinggi menggunung mereka. aku matikan harapan mereka. bagi mereka, tiada lagi yang boleh membahagiakan mereka. tiada lagi harapan. aku tidak menyalahkan mereka. siapa yang tak kecewa bila seorang anak melanjutkan pengajian di suatu tempat yang mereka kata terbaik dan terjamin masa depan gagal meneruskan pengajian. ibu bapa mana yang tersenyum bahagia bila anak mereka terpaksa keluar kerana gagal. mak dan ayah berhak rasa kecewa dan sedih. dan aku tanpa henti berdoa agar mak dan ayah dapat menerimanya dengan hati yang terbuka dan percaya bahawa kegagalan hari ini bukanlah satu titik noktah dalam hidup anaknya ini. 

2 Ramadhan. 

Alhamdulillah. rasa syukur yang tak terhingga kerana aku dikurniakan dua orang kakak kandung dan seorang sahabat terbaik serta dua orang kakak kurniaanNYA yang cukup memahami. merekalah sumber kekuatan untuk aku terus kuat menghadapi segala keperitan. Terima kasih kerana sentiasa di sisi. 

3 Ramadhan. 

Alhamdulillah. Allah kabulkan doa hambaNya yang hina ini. mak dan ayah akhirnya dapat menerima dengan hati terbuka. tiada lagi ungkapan rasa kecewa yang ada kata-kata semangat supaya aku terus pandang ke hadapan tanpa menoleh lagi ke belakang. Alhamdulillah. 

4 Ramadhan. 

keyakinan aku untuk mengorak langkah terus ke hadapan tiba-tiba terganggu dek mereka yang datang bersama kata-kata yang mengelirukan. dan saat itu aku nekad untuk diam tanpa sebarang tindakan sehinggalah keluar keputusan sebenar. diam tanpa kata dan tindakan bukan bererti aku mengaku kalah. Allah lebih tahu. 

5 Ramadhan.

keputusan hampir muktamad. tempat ini bukan lagi milik aku. aku bakal meninggalkan tempat ini.   
ya Allah....hanya Kau yang tahu hati aku ketika ini. 

6 Ramadhan. 

aku masih lagi diam tanpa sebarang tindakan. kerana hati ini cukup yakin sesuatu yang lebih baik menanti di luar sana. cukuplah akal dan hati ini terseksa tak siapa yang tahu. aku percaya pada takdir Allah. dan ini takdir untukku. 

sebelum 12 Ramadhan. 

hari-hari aku ditemani air mata. air mata ini jatuh kerana kesedihan menggunung perlu meninggalkan sahabat-sahabat sebaik dan sehebat mereka. 

aku tidak lagi dapat fokus dalam kuliah. akal aku tidak lagi mampu berfikir untuk menyiapkan tugasan. syukur aku punya sahabat terbaik yang membantu. dan syukur aku punya sahabat-sahabat yang seakan-akan mengerti keperitan dalam hati. terima sahabat-sahabat dunia akhirat. 

aku cuba menjauhkan diri. takut nanti kesedihan makin tinggi menggunung. semakin aku menjauhkan diri, semakin mereka hampir denganku. mereka datang bertanya khabar. mereka datang bersama seribu satu persoalan yang tak terungkap dengan kata-kata. dan aku tak mampu memberi sebarang kata. aku memilih untuk diam selagi ianya tidak pasti. 

dan hampir setiap hari aku terima sesuatu pemberian daripada mereka tanpa nama. sebuah buku motivasi yang cukup penuh dengan kata-kata semangat. dan juga patung comel tergantung di beg. terima kasih atas pemberian tanpa nama ini. 

jujur aku katakan. aku tidak sanggup masuk ke kelas. duduk bersama mereka. berborak kosong. bergurau dan ketawa bersama mereka. aku cuba pamerkan wajah gembira. aku cuba sorokkan rasa sedih. kerana aku tak ingin mereka lihat aku dengan pandangan sedih dan simpati. kerana itu aku pilih untuk berdiam diri. 

dan hari-hari aku lebih banyak diluangkan bersama mereka yang aku baru kenali. walaupun singkat tempoh perkenalan kami, tapi aku merasakan tautan kasih dalam perkenalan ini. terima kasih ya Allah atas kurnian indah ini. 

12 Ramadhan. 

keputusan yang ditunggu-tunggu akhirnya di depan mata. aku disahkan gagal untuk meneruskan pengajian di sini. keputusan seperti yang telah dimaklumkan oleh pensyarah. sama seperti dulu. aku menguruskan segalanya seorang diri. setelah mendapat surat rasmi aku terus  memaklumkan kepada sahabat-sahabat dunia akhiratku. aku kuatkan hati memaklumkan berita ini. belum sempat aku menghabiskan kata-kata, mereka terlebih dahulu mengeluarkan air mata. satu persatu mata ku renung. aku percaya mereka sudah mengetahuinya cuma belum mendapat kepastian. dan hari ini mereka mendapat kepastian dari mulutku sendiri. ya allah. hanya Kau yang tahu betapa beratnya hati dan mulut ini untuk berbicara. 

13 Ramadhan. 

malam terakhir bersama mereka. berbuka puasa bersama mereka. meluangkan masa bersama mereka. seperti biasa. mata ini takut melihat ke dalam anak mata mereka.  senyuman sentiasa di bibir. aku tahan air mata dari jatuh. tak ingin dilihat oleh mereka. 

14 Ramadhan. 

hari terakhir di sini. aku ke kelas seperti biasa. memakai baju rasmi. kali terakhir. aku kuatkan diri berjumpa seorang demi seorang lecturer yang berjasa. pelbagai reaksi aku terima. mereka sangat supportive. mereka kata, this is not the ending of my life. peluang itu sentiasa ada di hadapan orang yang mencarinya. insyallah. 

aku melangkah keluar dari sini. berakhirlah episod suka duka aku di sini. 

tempat ini adalah satu persinggahan yang Allah rancang untuk aku supaya aku dapat mengenali insan-insan terbaik seperti mereka. juga tempat persinggahan untuk aku belajar tentang kehidupan yang tidak pernah  lekang dengan pelbagai dugaan. satu persinggahan yang singkat untuk bekalan sepanjang hayat. insyaAllah...

"ya Allah, aku panjatkan rasa syukur atas segala anugerah terindah yang Kau kurniakan. Kau kurniakan mak dan ayah yang memahami, adik-beradik yang menyokong aku tanpa henti, dan sahabat-sahabat terbaik dunia akhirat. terima kasih ya Allah kerana permudahkan urusanku. semoga perjalanan hidupku selepas ini dilindungi dan diberkati olehMu. "

terima kasih kepada semua yang mendoakan serta pemberian dari kalian. tidak terungka dengan kata-kata saat kalian datang bersalaman dan memeluk aku. betapa sedih rasa hati. tetapi ini takdir Ilahi. setiap pertemuan pasti ada perpisahan. 


16 Ramadhan. 

aku mula mengorak langkah ke hadapan berbekalkan ilmu dan pengalaman sepanjang berada di sana. aku bukan  lagi mahasiswa guru di sana. biarpun mereka punya pelbagai tanggapan atas kegagalan aku di sana, namun, aku punya alasan tersendiri. biarkan ia tersimpan rapi di dalam hati. 

Terima kasih sahabat terbaik dunia akhirat, Nursyahida kerana tidak henti-henti beri aku kekuatan, sokongan dan kata-kata semangat di saat aku rasakan diri ini tidak mampu lagi berdiri.    Hanya Allah yang dapat membalasnya. 

terima kasih juga buat kedua-dua kakak anugerah Ilahi. kak gee dan kak teha. biarpun perkenalan ini terlalu singkat tetapi kerana kita tautkan ia dengan kasih sayang, saya percaya ianya akan kekal hingga akhir hayat. insyaAllah. 


Alhamdulillah. hanya ini yang mampu terungkap dengan kata-kata. Semoga Allah permudahkan urusanku selepas ini. Perjalanan hidup yang semakin singkat perlu diteruskan. tiada lagi tolehan ke belakang. fokus utama adalah masa hadapan dan tiada lagi kekecewaan yang akan ku bawa ke dalam hati mak dan ayah. insyaAllah.